Thursday, October 22, 2009

sejarah mti bt 8

Sejarah Penubuhan


Penubuhan Kelas Pengajian Agama & Al Quran... Pada tahun 1958, hasil kesedaran

betapa pentingnya ilmu agama kepada generasi muda, engasas Maahad yang terdiri daripada

Ustaz Hj Salleh, Ustaz Abdul Samad, Ustaz Omar, Ustaz Abdul Muin Tahir dan penduduk

Kampung Senduk telah membina dan merealisasikan Kelas Pengajian Agama & Al Quran yang

bertempat di sebelah bangunan surau kampung ini. Dari dulu hingga sekarang Pada tahun 1959,

masyarakat Kampung Senduk telah menubuhkan jawatankuasa yang bertanggungjawab

kepada perjalanan dan Kemajuan Kelas Pengajian Agama & Al Quran. Pembinaan bilik darjah

yang merupakan bangsal beratap rumbia merupakan titik tolak terpenting pembangunan

institusi ini. Pada tahun yang sama, kelas ini telah ditukar namanya menjadi Taman Didikan Islam.

1961 
Memperkenalkan mata pelajaran akademik selaras dengan kurikulum
Kementerian Pelajaran. Pengiktirafan sebagai sekolah menengah rendah oleh
kerajaan negeri.
1964
Perpindahan ke lokasi baru, bersebelahan jalan besar Trong.Perasmian
bangunan oleh YAB Dato’ Ahmad Said, Menteri Besar Perak ketika itu. 
1967
Tahun pertama Sijil Rendah Pelajaran (SRP).
1974
Pengiktirafan sebagai sekolah Menengah Agama Islam Perak.
Penukaran nama kepada Sekolah Menengah Agama Taman Didikan Islam ( SEMADI ).
1976
Kumpulan pertama menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
1977
Kumpulan pertama menduduki Sijil Persekolahan Peringkat Thanawi.
Menjadi pusat peperiksaan. Tingkatan Enam jurusan Syariah dibuka. 
1978
Mula menyediakan asrama pelajar. Penubuhan Persatuan
Ibu Bapa & Guru (PIBG).
1980
5 pelajar yang menduduki STP berjaya ke universiti tempatan.
1982
Penukaran nama kepada Maahad Al Tarbiah Al Islamiah. Bilangan
pelajar mencapai 800 orang. Pembinaan Asrama Ahmadiah, Musolla
dan dewan serbaguna hasil sumbangan individu dan orang ramai.
1987
Kursus Bahasa Arab Daurah Ta’lim Al Lughah Al Arabiah anjuran
bersama Universiti Islam Madinah. Pengiktirafan Universiti Islam
Madinah bagi pelajar Maahad menyambung pelajaran ke universiti
tersebut.Pelajar – pelajar Maahad mula membanjiri institusi pengajian di
Arab Saudi, India, Jordandan lain-lain.
1988
Sambutan Perayaan Jubli Perak.

sumber : web mti

Tuesday, October 20, 2009

Umno dan reformasi

Tamat sudah perhimpunan agung tahun ini bagi parti Melayu terbesar, United Malay National Organisation (Umno). Selepas 52 tahun Semenanjung Malaysia bebas dari penjajahan dan 46 tahun Malaysia didirikan, Umno masih lagi merupakan parti yang menjadi tunjang pemerintahan negara.

Dalam perhimpunan kali ini, isu utama yang menjadi perbincangan ialah “Reformasi” yang dilaksanakan oleh parti tersebut. Isu reformasi dan perubahan dalam parti tersebut menjadi hangat dibincangkan selepas Umno merasakan jika mereka tidak berubah, tidak mustahil akan mengikut jejak langkah parti Liberal Democratic Party (LDP) yang tersungkur baru-baru ini dalam pilihanraya umum di Jepun baru-baru ini.

Perwakilan Umno telah bersetuju untuk membuat pindaan perlembagaan parti tersebut secara sebulat suara. Dalam tempoh masa kira-kira satu jam sahaja, tujuh usul dipersetujui tanpa sebarang bantahan.

Usul-usul tersebut ialah:

• Penambahan jumlah perwakilan kepada 146,500 anggota bagi pemilihan pimpinan tertinggi Umno dan barisan pemimpin peringkat bahagian. Melalui usul pindaan ini juga, semua ketua sayap parti peringkat cawangan dicadangkan menjadi perwakilan secara automatic;

• Memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan. (Syarat minimum untuk menjadi calon akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno);

• Pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT (Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang);

• Pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak, dan dengan itu sebuah;

• Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia dari segi logistik dan kos. (Anggota jawatankuasa akan dilantik Presiden parti);

• Penghapusan yuran tahunan keahlian dan digantikan dengan yuran seumur hidup;

• Memberi mandat kepada ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru; dan

• Mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik. Pindaan perlembangan yang dilakukan ini adalah diantara usaha Umno untuk menjadikan parti tersebut kembali popular dikalangan rakyat. Persepsi rakyat bahawa parti Umno adalah parti bangsawan ingin dihapuskan.

Umno bukan parti bangsawan?

Semenjak ditubuhkan, Umno kini mempunyai tujuh orang presiden. Bermula dengan DatukOnn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan yang terkini Datuk Seri Najib Razak. Daripada enam orang bekas presiden diatas, hanya Tunku Abdul Rahman yang tidak meninggalkan anak atau menantunya dalam Umno sebagai warisan. Selebihnya semua meninggalkan anak atau menantu mereka untuk menjadi pemimpin Umno pada masa akan datang.

Onn meninggalkan Tun Hussein Onn. Razak meninggalkan Perdana Menteri Malaysia terkini, Datuk Seri Najib Razak. Hussein meninggalkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Dr Mahathir meninggalkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir. Manakala Abdullah meninggalkan menantunya yang kini menjadi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Selepas Najib, jawatan presiden Umno, jika mengikut tradisi Umno, nama-nama seperti Hishammuddin, Mukhriz dan Khairy akan bergilir-gilir mengambil alih jawatan tersebut.

Bukan bangsawankah ini?

“Kitaran bangsawan”

Dalam ucapan presiden Umno, Najib dalam perhimpunan agung parti tersebut baru-baru ini, beliau mahukan Umno kembali menjadi parti pergerakkan massa dan bukannya parti golongan bangsawan dan elitis seperti sekarang.

Memang benar satu ketika dahulu, ketika Malayan Union ditentang, ahli-ahli Umno kebanyakkannya terdiri daripada rakyat bawahan. Akan tetapi, fakta yang tidak dapat disanggah adalah parti Umno dipimpin oleh golongan bangsawan.

Amalan tersebut kekal sehingga hari ini. Maka persepsi bahawa hanya golongan “bangsawan” yang akan memimpin Umno sukar untuk diubah selagi Umno membuktikan bahawa “rakyat biasa” boleh diangkat untuk menjadi presiden Umno.

Dalam sejarah Umno, hanya Dr Mahathir berjaya melepasi rintangan bangsawan ini. Selepas beliau, Umno kembali dengan kitaran “bangsawan”nya. Abdullah adalah anak kepada Ahmad Badawi dan cucu kepada Abdullah Fahim, seorang ulamak yang menjadi penasihat kepada perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Manakala, Najib pula adalah anak kepada perdana menteri kedua, Razak. Sebab itulah rakyat kini tunggu dan lihat apakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berjaya menggantikan Najib untuk menjadi presiden Umno?

Perubahan dalam Umno sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada parti tersebut untuk bersaing dengan parti-parti pembangkang pada masa akan datang. Kemenangan besar Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang baru-baru ini memberikan sedikit “suntikan moral” selepas Umno tewas dalam banyak pilihanraya kecil selepas PRU 8 Mac.

Cetak rompak

Jika dilihat dari sejarah. Umno seringkali berubah mengikut kehendak semasa. Ketika parti-parti kiri popular sekitar tahun 60an dan 70an dahulu, Razak memperkenalkan program-program “sosialis” seperti Felda dan menggunakan nama-nama jargon kiri seperti Bank Rakyat.

Ketika majoriti orang-orang Melayu mahukan Islam, Dr Mahathir dengan tenangnya, menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam.

Kini, ketika golongan muda tidak mahukan lagi rakyat didiskriminasikan mengikut kaum dan agama dan Pakatan Rakyat menjadi popular kerana dasar mereka yang mahukan rakyat Malaysia tidak dibeza-bezakan mengikut kaum dan agama, Najib memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia.

Sejarah pilihanraya lalu juga menyaksikan bagaimana Umno yang kehilangan sokongan orang-orang Melayu pada Pilihanraya 1999 bangkit kembali dan menang dengan begitu besar dalam PRU 2004. Walaupun banyak terdapat “masalah” dalam pilihanraya tersebut, “swing” undi rakyat memang kembali kepada mereka.

Pakatan kini telah memerintah beberapa buah negeri. Perak telah dirampas kembali tetapi Pakatan masih lagi mempunyai Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Jika dalam tempoh sehingga PRU 13 ini, Pakatan masih belum mampu untuk melaksanakan program-program yang konkrit untuk mereka tawarkan kepada rakyat Malaysia, tidak mustahil trend PRU 2004 akan berulang.

Bak kata orang-orang tua, bekerjalah seolah-olah PRU akan diadakan pada esok hari. Janganlah sampai terlalu berkhayal untuk menjadi menteri dengan andaian Pakatan berjaya mengambil alih Putrajaya pada PRU 13.

*pertama kali tersiar di The Malaysian Insider

SPEAKER HALAL vs SPEAKER HARAM

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).

Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat ( PR ) .

Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar

Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar.

Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.

Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.

Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.

Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.

Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).

Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .

Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan

“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)"

Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut

“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”


Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama

Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.

Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.

Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang

Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.

Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.

Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.

Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!

Wednesday, October 7, 2009

BIODATA CALON PR PRK N.31 BAGAN PINANG

Biodata Calon

Nama : Zulkefly Mohamad Bin Haji Omar
Tempat Lahir : Lenggeng, Negeri Sembilan
Tarikh Lahir : 14 Mei 1964 (45 tahun)
Nama Isteri : Saeiah bt Tarmizi
Bilangan Anak


:


6 orang (4 Lelaki 2 Perempuan)



Latar Belakang Pendidikan
  • Ijazah Sarjana Sains (Master In Science –
  • Corporat Communication),
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) UiTM


Latar Belakang Politik Dalam PAS
  • Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan (2007 - )
  • Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan
  • (2005 – 2007)
  • Mantan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan
  • (2003 – 2005)
  • Mantan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
  • (2001 – 2005)
  • Mantan Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan
  • (2004 – 2005)
  • Mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan
  • (2001 – 2004)
  • Mantan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (1999 - 2001)
  • Mantan Penolong Setiausaha PAS Kawasan Seremban
  • (1998 – 2000)


Latar Belakang Kerjaya
  • Pengarah Urusan / Konsultan Syarikat
  • L & R Enterprise Sdn.Bhd
  • Mantan Pengurus Kanan (Perniagaan) –
  • IS Technologies Sdn.Bhd (1999 – 2004)
  • Mantan Ketua Bahagian
  • (Market Planning-C & B) – Telekom Malaysia
  • Mantan Eksekutif Perhubungan Korporat
  • Pusat Zakat Selangor
  • Mantan Pegawai Perhubungan Ko-operasi Celcom
  • Mantan Biro Perkhidmatan Angkasa


Latar Belakang Organisasi NGO
  • Pengerusi No Incinerator Broga (Negeri Sembilan-Selangor)
  • Penasihat Persatuan Penduduk Tiang /
  • Sri Petaling, Jelebu Negeri Sembilan
  • Penasihat Kelab Penyokong PAS
  • (Mantin, Ulu Branang,Broga)
  • Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu
  • Cawangan Negeri Sembilan
  • Penasihat Persatuan Penjaja Ayam (Pasar Seremban)
  • Penasihat Jawatankuasa Bertindak Getco, Jelebu

Friday, October 2, 2009

Mansuhkan dulu PPSMI untuk martabatkan BM, kata Pak Samad

Usaha untuk "memartabatkan" lagi bahasa Melayu melalui penguatkuasaan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan berkesan selagi kerajaan tidak memansuhkan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kata seorang sasterawan negara.

Datuk A Samad Said juga berkata beliau tidak nampak keberkesanan penguatkuasaan bahasa kebangsaan itu, yang diumumkan sejak 2005.

"Saya rasa laporan berita itu tidak lengkap kerana sebelum ini pun DBP sudah ada unit khas untuk ambil tindakan terhadap mereka yang guna bahasa salah dalam iklan," katanya ketika diminta mengulas perkara itu, yang merupakan salah satu resolusi satu persidangan bahasa Melayu semalam.

Media melaporkan, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, telah meluluskan resolusi untuk "mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada DBP bagi memartabatkan bahasa Melayu."

"Apa yang saya nampak, setakat inipun usaha ini masih tidak berjalan. Tapi itu bukan masalah pokok, masalah pokok adalah penggunaan bahasa Melayu," kata aktivis sastera itu ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya mengambil langkah memansuhkan PPSMI supaya dasar pengajaran selari dengan undang-undang.

"Apa yang saya nampak, kerajaan setakat ini terus menghina bahasa Melayu manakala bahasa Inggeris pula didewa-dewakan," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Bahasa Inggeris sudah ada diberikan dana sebanyak RM5 billion untuk mantapkan bahasa itu, tapi untuk memartabatkan bahasa Melayu, tidak ada," kata Pak Samad yang turut mengetuai beberapa siri demonstrasi membantah dasar PPSMI Mac lalu.

"Kerajaan mestilah mengikut dan meluhuri Akta Bahasa Kebangsaan tersebut dan bukannya melanggar undang-undang, itu setakat yang saya nampaklah," katanya yang

Beliau berkata, DBP sememangnya tidak berkuasa untuk menguatkuasa bahasa Melayu, malah beliau mengetahui ramai di kalangan kakitangan DBP sendiri yang tidak bersetuju dengan PPSMI.

"DBP tidak boleh buat apa-apa, tapi kerana ia berada bawah kuasa kementerian pelajaran, jadi dia kena ikutlah. Kalau ditanya secara rahsia, ramai yang tidak setuju. Tapi apa yang mereka boleh buat kerana mereka orang makan gaji," jelasnya lagi.

Tambahnya, resolusi berkenaan yang diputuskan persidangan anjuran bersama DBP itu masih di peringkat cadangan.

"Itu permintaan, apakah kementerian akan terima atau tidak permintaan ini? Dalam usaha baru ini saya tidak tahu DBP akan buat macam mana," kata Pak Samad lagi.

Mengulas mengenai satu lagi resolusi persidangan yang meminta kerajaan mewujudkan jawatan atase bahasa dan kebudayaan di setiap pejabat misi Malaysia di luar negara, beliau berkata ia adalah usaha yang baik.

"Itu tak apalah kalau kerajaan rasa ia boleh mengembang dan membantu masyarakat mengguna bahasa. Tapi saya rasa yang penting adalah usaha di tanah air sendiri, masih samar-samar pelaksanaannya.

"Yang penting adalah supaya kerajaan tidak terus melanggar Akta Bahasa. Bermakna kerajaan mesti memansuhkan PPSMI," tegasnya.

Thursday, October 1, 2009

syaitan janjikan manusia kepapaan, kesesatan

syaitan janjikan manusia kepapaan, kesesatan

IBLIS dan syaitan adalah musuh nyata manusia. Kedua-duanya termasuk kaum jin yang dijadikan daripada api sangat panas dan tergolong dalam spesies makhluk ghaib, iaitu tidak kelihatan dengan mata kasar manusia biasa, kecuali apabila ia menjelma dalam bentuk tertentu.

Syaitan dan iblis mempunyai empayar kerajaan yang besar, malah ada pihak mendakwa nisbah seorang manusia 99 jin, manakala satu jin 99 malaikat, menunjukkan banyaknya makhluk terbabit yang mempunyai tugas masing-masing.


Antara tugas syaitan ialah:

1. Menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Sebab itu Allah mengingati manusia supaya berwaspada dengan hasutan terbabit.

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan menyuruh kamu berkata dusta terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui.” (al-Baqarah:168-169)

2. Menakut-nakutkan manusia. Syaitan juga bekerja menakutkan dan membimbangkan manusia, terutama berdepan persoalan rezeki, dengan hidup miskin dan susah.

“Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah:268)

3. Menyesatkan manusia. “Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” (an-Nisa’:60)

4. Menimbulkan permusuhan sesama manusia. Cara syaitan ialah menimbulkan syak wasangka, hasad dengki dan kebencian. “Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi…” (al-Maidah:91)

5. Melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah. “…dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?” (al-Maidah: 91)

6. Mencari calon penghuni neraka. “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya dia hanya menyeru golongannya supaya menjadi penduduk Neraka.” (Fathir:6)

7. Berusaha merayu manusia supaya mencintai dan memujanya. “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu!” (Yasin: 60)

8. Disebabkan tidak senang dengan ketenangan manusia, syaitan mengada-adakan pelbagai onar, termasuk membisikkan sesuatu ke telinga dan hati manusia.

“Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan manusia.” (an-Nas: 4-6)

Semua Parti Dalam Pakatan Rakyat,Faham "HUDUD"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails